Friday, July 29, 2011

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan

Renungan Ramadhan

Ramadhan ialah bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmah, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka.

Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:
“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan. Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya diarugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nasai’)

Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi kiranya kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya. Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya

Nabi (saw) mengingatkan kita bahwa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spectrum yang begitu luas, di manakah kita?


Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran. Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

1. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

2. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

3. Menahan diri dari mendengar apayang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

4. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama.Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

5. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketikaberbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi.Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa di bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

6. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan.


Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.

No comments:

Post a Comment