ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam melahirkan rasa dukacita dan kesedihan baginda dengan kesukaran yang dialami rakyat negeri ini berikutan dilanda bencana banjir terburuk.Sehubungan itu, baginda menitahkan semua pihak tanpa mengira fahaman politik menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi meringankan bebanan mangsa banjir yang bukan saja kerugian harta benda, malah ada kehilangan orang yang tersayang.“Beta amat dukacita dan sedih dengan kejadian banjir besar yang melanda Kedah negeri yang tercinta ini sejak seminggu lalu dan beta percaya pasti ada hikmah di sebalik semua kejadian ini.
“Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan membantu meringankan bebanan mangsa banjir ini tanpa mengira fahaman politik dan sama-samalah kita bersyukur di atas nikmat Allah.
“Malah apa yang lebih penting ialah kita sama-sama ambil iktibar dan merenung serta memikirkan hikmah di sebalik kejadian ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas majlis taklimat khas mengenai mangsa banjir di Wisma Darul Aman, semalam.
Terdahulu, baginda dengan diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun, berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti, di sini.
Turut berangkat mengiringi baginda berdua, puteri bongsu yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
Pada majlis itu juga baginda turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 daripada dana zakat negeri serta berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk membantu mangsa banjir.
Selain itu, YSB turut menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada individu tidak mahu dikenali bagi membantu mangsa banjir di Kedah.
No comments:
Post a Comment