Wednesday, December 22, 2010

Awas syirik kayu KOKKA

Anda pernah dengar tentang kayu kokka. Kebelakangan kini kita telah dihamburkan tentang khasiat kayu kokka yang dikatakan berasal dari bahtera nabi Nuh a.s. Berikut adalah pandangan Pengasas Pusat Perubatan Darussyifa' Ustaz Haron Din tentang kayu kokka




Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk ‘madi’ seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); “Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT.” (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.

Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.

Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti ‘assina’ dan ‘assinut’. Dalam al-Quran disebut ‘at-tiin’, ‘az-zaytun’, ‘ar-rummaan’, ‘an-nahiil’ dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya tentang pengguna kayu kota atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, “Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian.”

Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya.” Lalu Nabi berkata kepadanya, “Perlahankan sedikit.”

Wallahua’lam.

Ustaz Haron Din (Petikan dari Harakah Bil.1337)





Petua Mencuci Hati

Oleh Dato' Dr. Fadzilah Kamsah

hati

Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini ada beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati.

1. Dirikan solat dan banyakkan berdo’a – Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo’a turut katakan “Ya,Allah jadikan hatiku bersih.”

2. Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 x sebelum tidur – Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3. Solat taubat – Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4. Membaca Al-Quran – Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa,penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah “Qulhu-allah” (Surah Ikhlas) sebanyak 3X.

5. Berma’af-ma’ afan sesama kawan setiap hari – Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6. Bisikan kepada diri perkara yang positif – Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakanlah “Aku sebenarnya.. ….(perkara yang elok-elok belaka).

7. Program minda/cuci minda – Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati “Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif”. Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya – CUBALAH!!

8. Berpuasa – Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9. Cuba ingat tentang mati (Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa).

10. Kekalkan wuduk.

11. Bersedekah.

12. Belanja orang makan.

13. Jaga makanan – jangan makan makanan yang subhat.

14. Berkawan dengan ulama.

15. Berkawan dengan orang miskin (menginsafi).

16. Menutup aurat mengikut Islam yang sebenar terutama wanita, bersegera dalam solat dan sebagainya.

17. Pesan pada orang, jadi baik.

18. Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut…dan sebagainya), jangan dengar orang mengumpat.

Tuesday, December 14, 2010

Keindahan Islam

Tatkala kita di sini, sedang menghadap leptop, menonton tv dan melakukan lain-lain aktiviti di rumah, umat Islam di tanah suci mekah pula sibuk menunaikan haji. Teringat akan satu kisah lama yang berlaku beberapa tahun lepas yang boleh kita renung-renungkan.

Dari channel online Islamik, MAJD telah berlangsungnya suatu program yang bertajuk One Famili, diketuai speakernya, Dr. Yahya Alyahya (Ketua CALL to Islam Committee, Amerika Syarikat). Beliau menceritakan kisah berkenaan seorang bukan Islam Amerika yang sedang berbincang dengannya mengenai Islam. Ketika mereka menonton tv secara live, broadcast dari Kaabah, orang amerika tersebut menyatakan betapa kagumnya dia melihat sebegitu ramai berjuta-juta orang bersesak-sesak berada di dalam Masjidil Haram.


Dr Yahya bertanyakan kepada orang amerika tersebut, “Pada pandangan anda, berapa lamakah anda fikir mereka akan turun untuk menyusun dalam baris dan mula solat?”

“Sekurang-kurangnya 2-3 jam?”, orang amerika itu menekanya.

Dr Yahya menyambung, “Tapi masjid itu (Masjidil Haram) keseluruhannya mempunyai 4 tingkat”

Orang amerika pantas menjawab, “Oh, ini sudah tentu akan memakan masa 12 jam untuk menyusunnya!”

Dr Yahya sekali lagi menambah, “Anda mesti ingat bahawa mereka berasal dari negara-negara di seluruh dunia dengan bahasa yang berbeza”

Orang Amerika semakin bingung dan terus berkata "Ini sangat mustahil untuk mereka menyusun barisan dengan apa cara sekalipun!”

Tatkala mereka rancak berbincang, tiba-tiba imam di tv berkata "estawoo" (tetapkan dirimu). Dan dalam beberapa saat, seluruh pemandangan berubah dan kerumunan berjuta-juta umat Islam menetapkan diri sendiri dalam baris dengan teratur dengan baik dalam masa beberapa saat sahaja untuk menunaikan solat isyak!

Orang Amerika menatap kaca TV untuk beberapa saat dan kemudian terus berkata, “ash-hadu allah ilaha illa allah wa ash-hadu anna mohammadan rasulullah (Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang patut disembah melainkan ALLAH dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah)”


Subhanallah!



Saturday, December 4, 2010

Freemason

Bismillahirahmannirahim.....

Jom Kita Lihat Persamaan Seni Bina Didalam Negara Yang Kita Cintai Ini....

Kepada Yang Tidak Meminati Ataupun Percaya Kepada Teori Konspirasi Freemason...Maka Abaikanlah Gambar2 Dibawah Nie Ya...Kerana Cuma Akan Membuang Masa Anda Yang "BERHARGA" Tu....

Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM)Terengganu.....

Sekarang Ni Bila Digoggle....Kawasan Ini Telah Dikaburkan...

http://wikimapia.org/1620361/Kustem-Cross

Putrajaya And Vatican City ?Perhatikan MATA

Masih Lagi Diarea Putra Jaya....=Alamanda

Presint 5-

Ni Paling Jelas

Mengapakah Obelisk(Tiang) Dibina Sebagai Mercu Tanda ?Apakah Mercu Tanda Islam ?Adakah Tiang ?

Sambil Lihat Gambar Nie...Digalakkan Untuk Memasang Lagu Kenny Martin=Suratan Atau Kebetulan.....hehehehe

Sumber Gambar Daripada Sahabat2 Saya Yang Perihatin Dengan Konsprasi Baik Didalam Dan Luar Negara.....

Keypad Lock=http://www.facebook.com/keypadl0ck

Clulues Mind=http://www.facebook.com/notin2see (Allahyarham Faizal Abdul Aziz....Semoga Beliau Tergolong Dikalangan Orang2 Yang Beriman....Al-Fatihah Untuk Arwah....Amin)

Dan Kepada Sahabat Disini Yang Tak Memahami Apa Yang Saya Ingin Sampaikan Di Dalam Nota Ini...Dan Menganggap Pekara Ini Adalah KEBETULAN...

Saya Menyarankan Saudara2 Menonton Video Dokumentari Konspirasi Dunia Gelap Freemason Bertajuk THE ARRIVALS...

Dimana Dokumentari Ini Akan Memberikan Sedikit Pencerahan....Siapakah MEREKA,APAKAH YANG INGIN MEREKA LAKUKAN...

Dan Lebih Memeranjatkan..Saudara2 Sendiri Pastinya Tidak Sangka...Mereka Sedang Menyediakan Tanda2 Kemunculan DAJJAL...

(The Arrival 00-51)(Translate BM)

http://www.youtube.com/user/Fr33DoMFighT3Rz#p/c/3EB067A7460254EC/0/x9zrPH6HMu4

InsyaAllah....

(Sesiapa Yang Mempunyai Kritikan Dan Pandangan Ataupun Sebarang Info Yang Boleh Ditambah....Boleh Komen Dibawah...Sama2 Kita Mencari Kebenaran Di Muka Bumi Allah Ini...InsyaAllah...)

Sunday, November 7, 2010

Banjir di Kedah


  • Foto

    TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Haminah diiringi Ahmad Bashah (kiri) berkenan mendengar luahan mangsa banjir ketika melawat mangsa banjir di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar

  • Foto

    PENDUDUK Kampung Pulau Timbul, Jitra yang terperangkap dalam banjir diangkut menggunakan traktor.

Semua pihak diminta hulur bantuan, buang fahaman politik

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam melahirkan rasa dukacita dan kesedihan baginda dengan kesukaran yang dialami rakyat negeri ini berikutan dilanda bencana banjir terburuk.
Sehubungan itu, baginda menitahkan semua pihak tanpa mengira fahaman politik menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi meringankan bebanan mangsa banjir yang bukan saja kerugian harta benda, malah ada kehilangan orang yang tersayang.
“Beta amat dukacita dan sedih dengan kejadian banjir besar yang melanda Kedah negeri yang tercinta ini sejak seminggu lalu dan beta percaya pasti ada hikmah di sebalik semua kejadian ini.

“Marilah kita sama-sama menghulurkan bantuan membantu meringankan bebanan mangsa banjir ini tanpa mengira fahaman politik dan sama-samalah kita bersyukur di atas nikmat Allah.

“Malah apa yang lebih penting ialah kita sama-sama ambil iktibar dan merenung serta memikirkan hikmah di sebalik kejadian ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas majlis taklimat khas mengenai mangsa banjir di Wisma Darul Aman, semalam.
Terdahulu, baginda dengan diiringi Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun, berkenan mencemar duli melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti, di sini.


Foto


Baginda meluangkan masa hampir sejam bertanya khabar kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan itu.

Turut berangkat mengiringi baginda berdua, puteri bongsu yang juga Pengerusi Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB), Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz. Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Pada majlis itu juga baginda turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM500,000 daripada dana zakat negeri serta berkenan mengurniakan sumbangan peribadi berjumlah RM100,000 kepada kerajaan negeri untuk membantu mangsa banjir.

Selain itu, YSB turut menerima sumbangan sebanyak RM200,000 daripada individu tidak mahu dikenali bagi membantu mangsa banjir di Kedah.

Friday, November 5, 2010

Kenali Palestin

Detik Hitam 21 Ogos, 1969

Kenapa dengan 21hb Ogos? Tarikh 21 Ogos adalah satu detik hitam bagi umat Islam di seluruh dunia. Genap 41 tahun yang lalu (21 Ogos 1969), maruah umat Islam telah tercalar dengan satu penghinaan apabila Masjid al-Aqsa telah dibakar oleh pelampau Yahudi yang disokong kuat oleh golongan Kristian Zionis. Usaha terkutuk ini telah dilakukan oleh penjenayah yang berasal dari Australia yang bernama Michael Dennis Rohan.

Michael Rohan telah menyalakan api di dalam Masjid Al-Aqsa untuk membakar dan sekaligus memusnahkannya. Api yang marak membakar hampir-hampir sahaja memusnahkan keseluruhan bangunan Masjid al-Aqsa. Namun tindakan tangkas umat Islam di Baitul Maqdis selama sehari-suntuk mengizinkan mereka untuk memadamkan api tersebut.

Adakah Michael Rohan bertindak bersendirian?
Tidak, sekali-kali tidak.

Michael Rohan sebenarnya tidaklah bersendirian dalam melakukan jenayah keji ini. Beliau mendapat sokongan padu dari rejim Zionis Israel yang mahu melihat Masjid al-Aqsa lenyap dari muka bumi bagi meneruskan projek mereka untuk membina kuil Yahudi yang dikenali sebagai 'Solomon Temple' atau Haikal Sulaiman di dataran Baitul Maqdis tersebut.

Penjenayah yang bertanggungjawab terhadap pembakaran tersebut telah ditangkap tetapi kemudiannya dibebaskan tanpa sebarang hukuman. Mahkamah Israel sememangnya sentiasa bersendiwara apabila memutuskan bahawa Michael Rohan yang merupakan seorang doktor perubatan itu sebagai seorang yang tidak siuman dan hanya dikenakan tindakan dihantar pulang ke Australia.

Michael Rohan pula dengan rasa bongkaknya telah berkata bahawa apa yang dilakukannya adalah satu tanggungjawab agama sebagaimana yang termaktub di dalam ajaran Talmud. Dia turut mendakwa bahawa beliau telah berjaya di dalam melaksanakan misinya yang merupakan satu perintah dari tuhan.

Apakah kesan pembakaran tersebut?
Pihak Zionis telah memulakan perancangan mereka terlebih awal dengan menutup saluran paip air menuju ke Masjid al-Aqsa agar agenda jahat itu berjaya membuahkan hasilnya yang maksimum. Tentera Israel juga telah menghalang pasukan bomba dan warga Arab daripada memasuki kawasan masjid pada hari tersebut.

Tindakan biadab tersebut telah menyebabkan:
  • Sebahagian besar Masjid Al-Aqsa mengalami kerosakan dan musnah menjadi arang. Kemusnahan tersebut melebihi sepertiga daripada keseluruhan kawasan masjid iaitu kira-kira 1,500 meter persegi daripada 4,400 meter persegi keluasan masjid.

  • Mimbar Solahuddin al-Ayyubi yang bersejarah, Mihrab Zakaria, Masjid Umar al-Khattab dan sebahagian besar daripada serambi masjid turut hangus.

  • Turut musnah dalam kejadian tersebut adalah atap-atap masjid yang telah roboh menyembah bumi serta tiang-tiang yang indah dengan hiasan ayat-ayat Al-Quran.

Apakah peranan O.I.C?
Pembakaran Al-Aqsa telah mengundang aksi protes dari seluruh dunia Islam bermula dari Maghribi di barat sehinggalah ke Indonesia di timur.

Banyak pertemuan dan perundingan di peringkat regional dan internasional telah diadakan bagi menghentikan kemarahan umat Islam. PBB juga terpaksa mengadakan sidang tergempar dan telah mengeluarkan Resolusi 271 yang mengutuk Israel dan menyeru Israel agar menghentikan segala usaha yang bertujuan untuk merubah status Baitul Maqdis dan pengYahudian Masjid al-Aqsa.

Para pemimpin negara-negara Islam pula telah bergabung dan bersetuju untuk menubuhkan OIC ekoran dari kejadian pembakaran Masjid al-Aqsa tersebut. Mereka telah mengadakan pertemuan tergempar di Rabat, ibu negara Maghribi serta telah menghasilkan beberapa resolusi bagi mencegah apa jua usaha penodaan Masjid Al-Aqsa. Namun sedihnya resolusi itu kesemuanya hanya tinggal sebagai resolusi yang tidak berjaya dilaksanakan. OIC sebenarnya telah terbukti gagal di dalam mewakili umat Islam bagi menangani keselamatan dan kesucian Masjid al-Aqsa.

Telah berakhirkah ancaman terhadap Al-Aqsa?
Kesan pahit dari pembakaran Masjid al-Aqsa pada 1969 masih terus dirasai oleh dunia Islam sehingga ke saat ini. Banyak lagi peristiwa jenayah yang dilakukan terhadap al-Aqsa, di antaranya:
  • 27 Januari 1982, sekelompok Yahudi radikal berjaya masuk ke Masjid al-Aqsa untuk membakarnya sekali lagi namun usaha mereka berjaya dipatahkan.

  • 14 Januari 1989, beberapa orang anggota (parlimen) Knesset Israel telah masuk ke Masjid Al-Aqsa dengan kawalan ketat pasukan rejim Zionis dan mereka telah membaca kitab-kitab suci agama Yahudi di dalam al-Aqsa.

  • 28 September 2000, PM Israel Ariel Sharon, dengan kawalan ketenteraan yang ketat dari pasukan militari Zionis telah melakukan kunjungan ke Masjid al-Aqsa dan telah masuk ke dalam masjid itu. Dia telah mengatakan bahawa lawatan tersebut adalah hak bagi rakyat Israel untuk melawat sebahagian dari tanah negara mereka. Kunjungan tokoh pengganas Sabra dan Shatila ini telah menyebabkan tercetusnya Intifada Al-Aqsa.

Kini, setelah 41 tahun pembakaran Masjid al-Aqsa, masih ada ribuan lagi pengganas Zionis dan Yahudi radikal yang terus menanti kelalaian umat Islam untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa yang diberkati itu.




Apakah lagi jenayah Zionis ke atas Masjid al-Aqsa?
Pihak Zionis telah bertungkus-lumus untuk meYahudikan Masjid al-Aqsa sejak dari peristiwa An-Naksah (Malapetaka yang berulang) iaitu peristiwa penjajahan Baitul Maqdis Timur dan Masjid al-Aqsa pada 1967.




Banyak lagi, di antara jenayah projek pengYahudian al-Aqsa ialah:
  • Menghalang umat Islam dari menziarahi masjid ini dan memakmurkannya

  • Menghalang usaha membaik-pulih Masjid al-Aqsa yang rosak

  • Merampas Tembok Buraq yang merupakan sebahagian dari al-Aqsa

  • Mengadakan upacara agama Yahudi di dalam Masjid al-Aqsa

  • Siri Pengeboman secara terancang ke atas Masjid al-Aqsa

  • Siri Pembunuhan umat Islam di Masjid al-Aqsa

  • Penggalian terowong yang besar lagi panjang di bawah masjid ini

  • Mengubah identiti Islam dan Arab kepada identiti Yahudi di Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa

  • Pembinaan Sinagog Hover bersebelahan dengan al-Aqsa dll

Sudah terlalu banyak jenayah yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap Masjid al-Aqsa yang merupakan jantung hati umat Islam. Al-Aqsa adalah qiblat yang pertama umat, masjid yang ke tiga suci serta bumi Isra' dan Mi'raj, Masjid al-Aqsa mesti diselamatkan dari kemusnahan dan kehancuran oleh tangan-tangan pengganas rejim Zionis dan pelampau Yahudi.

Apa yang telah dan sedang berlaku terhadap Al-Aqsa merupakan sesuatu yang sepatutnya sudah cukup untuk menyedarkan umat Islam dari terus lena dalam buaian mimpi.




Apa yang boleh saya lakukan untuk menyelamatkan Al-Aqsa?
Sebenarnya banyak langkah praktikal yang boleh kita lakukan bagi menyelamatkan Masjid al-Aqsa dari ancaman kemusnahan. Di antaranya ialah:
  • Bermula dengan diri kita dengan mengenali sejarah Palestin serta kepentingan Masjid al-Aqsa di dalam aqidah umat Islam.

  • Didiklah keluarga dan masyarakat tentang keutamaan mengambil berat urusan umat Islam, termasuk dengan apa yang berlaku di Palestin dan Al-Aqsa, serta menyebarkan kesedaran tentang status sebenar Al-Aqsa kepada mereka dengan apa jua cara.

  • Menganjurkan program berkaitan dengan Masjid al-Aqsa pada sambutan peristiwa Isra' dan Mi'raj ataupun pada Hari Al-Aqsa seDunia pada 21hb Ogos di masjid-masjid, sekolah-sekolah, kampus universiti dan di premis-premis yang lain serta melibatkan pihak media.

  • Memberikan sumbangan kewangan kepada badan-badan yang memperjuangkan masa depan Masjid al-Aqsa.

  • Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (Zionis) dan juga pendokong mereka.

  • Melibatkan golongan bukan Islam dalam isu ini di atas asas persefahaman bersama dan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, kemanusiaan dan keadilan sejagat.

  • Melonjakkan isu ini ke persada internasional kerana perjuangan pembebasan al-Aqsa adalah isu yang menyatukan cita-cita dan hasrat umat Islam sejagat.

  • Berdoa kepada Allah (swt) agar Masjid al-Aqsa diselamatkan dari musuh-musuh umat Islam dan kemuliaannya sentiasa terpeilhara.

Jom... kita bertindak segera secara berterusan dan sistematik demi masa depan Al-Aqsa. Sebelum nasi menjadi bubur, marilah kita berganding bahu dan mengorak langkah ke hadapan bagi memperjuangkan kemuliaan Al-Aqsa yang tercinta.....

Semoga kita bertemu di Masjid al-Aqsa...





Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Bin Zainuddin - Perunding Aman Palestin
Ogos 2010

Friday, October 29, 2010

Mohammad nama pilihan di Britain

LONDON: Nama Mohammad kini menjadi nama pilihan paling popular bagi bayi lelaki yang baru dilahirkan di Britain.

Ia melonjak dari kedudukan ketiga sebelum ini dan mengambil alih nama Jack dan Harry yang menduduki tempat teratas sejak 14 tahun lalu tetapi kini berada di tempat ketiga.
Tinjauan mendapati nama Olivia pula menduduki senarai teratas nama pilihan bayi perempuan, mendahului Ruby dan Chloe.
Seramai 7,549 bayi baru dilahirkan diberi 12 variasi nama Nabi Muhammad tahun lalu, antaranya termasuk Muhammad dan Mohammad.

Nama kedua paling popular ialah Oliver yang diberikan kepada 7,364 bayi, manakala nama Harry dan Alfie menduduki tempat keempat dan kelima.

Senarai rasmi meliputi semua kelahiran di England dan Wales pada 2009, meletakkan nama Mohammed pada kedudukan ke-16 tidak termasuk pelbagai perbezaan ejaan. – Agensi

sumber : berita harian

Monday, October 25, 2010

Historic Of Mediterranean(Syria)


DI atas hamparan tanah pasir yang menjadi landskap lazim di zon Mediterranean, pokok bebawang Urginea maritima mampu tumbuh dengan cantik. Walaupun diuji suhu dahsyat, spesies itu berbunga lebat sepanjang pertukaran musim panas ke luruh.

Ia berdiri teguh, mempesona dan kental cuaca ekstrem sejak awal kewujudannya beribu-ribu tahun lalu. Ternyata, pokok yang saya temui di sebuah tapak ekskavasi itu mencetus satu falsafah.

Pokok itu sama seperti Syria yang sehingga kini menjadi antara destinasi paling eksotik di rantau Asia Barat. Walaupun diasak arus pemodenan dan globalisasi, Syria terus kental menyimpan pelbagai khazanah sejarah dan diversiti kebudayaan unggul.

Di sebalik kedatangan gelombang trend memiliki BlackBerry, iPhone mahupun fesyen ranggi terkini, generasi mudanya tidak melupakan tradisi yang merupakan refleksi kegemilangan sosiobudaya lampau.

Sebagai contoh, kepadatan petempatan baru seperti di Damsyik dan Aleppo langsung tidak mengancam kehadiran bangunan usang yang kaya elemen seni bina Rom, Perancis, oriental dan Islam Uthmaniyah.

Imbasan suasana di khan (tempat persinggahan pedagang) juga terus hidup kalau bertandang ke lokasi bazar dan souk. Para peniaga barangan turun-temurun seperti pertukangan logam, kotak dekorasi mozek dan sutera tenun sama-sama meraih untung di sebelah lokasi gedung serbaneka mahupun kedai produk jenama komersial.

“Malaysia boleh berbangga dengan aset pelancongan alam semula jadi seperti belantara dan pulau-pulau yang indah.

“Namun, dari aspek produk pelancongan sejarah, kami ada lebih banyak untuk ditunjukkan kepada tetamu kami,” ujar pegawai pengiring dari Direktorat Kementerian Pelancongan Syria, Salma Albochi, yang bersama-sama kumpulan media Malaysia dalam kembara Festival Laluan Sutera 2010.

Undangan Kementerian Pelancongan Syria ini membawa para wartawan dari seluruh dunia melawat banyak destinasi istimewa yang berasaskan sejarah ketamadunan di bandar dan daerah pedalamannya.

ISTANA kubu Salahuddin al-Ayyubi di kawasan pergunungan yang terletak 30 kilometer ke timur Lattakia.

Sesungguhnya, kembara dengan kenderaan pacuan empat roda ini sungguh mencabar, lantaran jarak antara setiap satu lokasi itu adalah beratus-ratus kilometer dan melintasi pelbagai bentuk fizikal geografi.

Sehebat Citadel Aleppo

Aleppo, hampir seusang Damsyik, sudah wujud sejak kira-kira 4,000 tahun lalu. Ia adalah bandar ketiga dimasyhurkan dalam era Uthmaniyah selepas Constantinople dan Kaherah di Mesir.

Dalam radius wilayahnya, kami sempat ke tapak arkeologi Brad, iaitu tempat kuburan paderi kelana, St. Maron, yang memencilkan diri demi mendalami ajaran Kristian seawal tahun 405 selepas Masihi.

Kami juga dibawa ke kawasan agrikultur di sebelah barat daya untuk melawat Kuil Ain Dara yang dikatakan telah wujud sejak tahun ke-10 sebelum Masihi dalam Zaman Logam Syro-Hittite.

“Namun, lokasi tumpuan ramai pastinya di Qal’ah Halab atau Citadel Aleppo yang tersergam megah di atas bukit di tengah-tengah bandarnya,” jelas Salma yang memberitahu bahawa citadel berfungsi sebagai pusat pentadbiran, istana, benteng atau kubu, bergantung pada keperluan dan strategi politik.

Struktur kompleks yang mencedok inspirasi jaringan labah-labah itu mempunyai banyak laluan bertangga curam, lorong rahsia dan juga rangkaian terowong misteri.

Bagaikan salur darah dalam tubuh manusia, ia menyambungkan komponen utama seperti masjid, bilik rehat, hamam, madrasah, taman, dewan terbuka, pelantar tinjau dan pejabat tadbir di puncaknya.

“Letih juga hendak meneroka isi perut tempat ini,” detik hati saya yang kemudiannya terpukau dek sayup azan lunak. Rupa-rupanya, itu adalah demonstrasi azan oleh si penjaga citadel.

Betapa hebatnya binaan citadel seluas tapak stadium Olimpik itu, hinggakan sesiapa yang melaung azan di satu sudut musolla, tanpa perlu memekik kuat atau menggunakan pembesar suara, mampu menggemakannya ke serata penjuru kompleks!

“Orang Eropah gemar pada tempat yang tinggi nilai sejarah seperti ini. Apatah lagi ia diisytihar Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1986.

“Benteng besar ini membawa pemahaman kita kembali ke gerbang milenium ketiga sebelum Masihi dan ia telah menjadi saksi peralihan peradaban dari zaman Yunani, Bizantine, Ayyubi hingga ke Mamluk,” kata Andre Bastien, 42, seorang ejen kembara dari Perancis yang sering membawa rombongan pelancong dari negaranya ke Syria.

Kubu gunung di Lattakia

Rasa kagum pada binaan Citadel Aleppo yang saya sangkakan tiada tandingan, rupa-rupanya silap. Ada lagi tinggalan dunia lampau menanti ketika haluan kembara ini beralih ke Lattakia.

Lawatan pertama di situ adalah ke tanah datar di tapak sejarah Ugarit, iaitu tempat penemuan tablet abjad pertama di dunia, sebelum perjalanan diteruskan ke kawasan pergunungan yang dipenuhi landskap hutan hijau.

KUIL Bel mempunyai elemen seni bina Greco-Rom.

Pening-pening lalat akibat perjalanan yang bersimpang siur segera terubat tatkala terpandang sebuah citadel yang spektakular di puncak paling strategik.

Sekian lama membaca sastera epik mengenainya semasa zaman persekolahan, akhirnya saya dapat juga menjejak kaki ke istana kubu Salahuddin al-Ayyubi. Sepantas itu juga saya meresapi misteri binaan kubu hebat tersebut.

Bermula dengan menjenguk ke setiap ruang bawah tanah, kemudian menyusuri anak tangga yang bercabang menjadi lorong-lorong mengelirukan, hinggalah kepada insiden saya melangkah laju hingga nyaris tergolek dan jatuh di sebuah tebing curam!

Semua itu benar-benar telah ‘menghidupkan’ saya kembali dalam debaran siri Perang Salib yang menyaksikan keperwiraan dan ketangkasan satria Islam itu.

“Di tengah-tengah istana kubu ini terdapat tinggalan binaan tentera salib seperti tangki simpanan air, dewan makan dan gereja.

“Selepas ia dikuasai Salahuddin pada tahun 1188, dunia Islam Arab menghadiahkan kubu ini dengan ruang masjid, tempat bersemayam dan halaman istana,” kata pengarah citadel tersebut, Abdullah Zakaria.

Saat saya duduk melayan desir angin di atas sebuah pelantar menara sambil menunggu detik matahari terbenam, ternyata istilah teruja atau kagum adalah suatu yang understatement.

Tunggang unta Palmyra

Sehabis kudrat agaknya penganjur festival ini mahu memerah minda para wartawan untuk mengenali Syria. Ya, agenda hari keenam telah ‘mengheret’ kami ke Palmyra, padang pasir yang tandus.

Mujur saya membawa keifieh untuk berlindung dari terik matahari sejurus keluar dari kenderaan. Banyak betul jasa kain itu terutamanya ketika saya berkunjung ke Citadel Palmyra, ke khemah Badwi dan juga ke lokasi eksentrik yang dinamakan sebagai Lembah Makam Bawah Tanah.

Buat kali pertama di Syria, sebagai kelainan, kami diberi peluang menunggang unta untuk masuk ke kawasan sejarah seperti Kuil Bel, Agora dan Altturabil.

Apabila derap longlai unta saya melewati bekas runtuhan bangunan dan deretan tiang decumanus seperti di Rom membuatkan pengalaman itu terasa ‘mahal’.

UNTA sedia ditunggang di sekitar Palmyra.

Macam Indiana Jones atau Lawrence of Arabia? Saya tersenyum sendiri. Dapat juga saya melupakan rasa lenguh di punggung gara-gara terlambung berulang kali sejauh 500 meter di atas ‘kawan’ baru saya yang berbonggol itu!

Palmyra menjual tarikannya berdasarkan kisah pemerintahan Ratu Zenobia yang dikatakan cantik, berkarisma, bijak dan setanding pahlawan perkasa.

Bercerita tentang wanita srikandi itu mengimbas Palmyra dalam pertembungan kuasa Rom dan Parsi, kemakmuran dan kemusnahan, serta cinta dan peperangan.

Apabila malam menjelma, perasaan saya larut dalam persembahan muzikal Zenobia yang dilangsungkan di amfiteater di tengah-tengah padang pasir itu.

Kalaulah ketika itu ada akses wifi, pasti keluarga dan teman-teman di Malaysia sudah menerima mesej ini: ‘Kalian pasti sesekali mahukan percutian yang merentas dimensi, peradaban dan waktu. Syria adalah destinasinya.”



Saturday, October 23, 2010

Menara Warisan Merdeka & Festivel Fesyen Islam

Apakah perbezaan di antara menegur kerajaan dan menyokong pembangkang?

Mahasiswa dalam negara dan luar negara selaku nadi negara mesti bijak dalam membezakan dua perkara yang dinyatakan di dalam tajuk di atas.

Menegur pemerintah tidak sama maksudnya dengan bersetuju ataupun bersama-sama pembangkang.

Kita anak muda adalah agen perubahan dan ada pengaruh dengan magnitud yang luar biasa. Justeru, sebarang keputusan yang diambil kerajaan mesti kita fikirkan dengan matang dan penuh hikmah.

Jika keputusan yang baik diambil oleh kerajaan, kita wajar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi, namun jika dirasakan ada cacat cela yang signifikan, luahkan buah fikiran anda, nyatakan pandangan anda dengan yakin dan penuh tanggungjawab.

Ingat, memberikan pandangan sebegini tidak semestinya anda bersama-sama barisan pembangkang!

Ini kerana pembangkang juga terbuka kepada kesalahan yang sama samada pada masa kini semasa menjadi pembangkang mahupun setelah memegang tampuk pemerintahan negara nanti. Namun apa yang penting di sini, di manakah NILAI pendirian anda?

Bangunan 100 tingkat

Bayangkan jika anda mempunyai wang sebanyak RM 5 bilion, ke mana anda mahu membelanjakan wang ini untuk pembangunan negara?

i) Menaik taraf sistem pengangkutan awam (LRT, KTM) di KL setaraf dengan TFL

ii) Membangunkan Pulau Langkawi sebagai Pulau Ikon sedunia

iii) Membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat

iv) Menghantar tambahan 5000 pelajar perubatan ke UK atau 50,000 pelajar perubatan ke Mesir

v) Membina lebih banyak sekolah berasrama penuh?

Perbincangan inilah yang membentuk asas kepada belanjawan negara, sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri negara baru-baru ini. Dan cadangan ketiga telah diumumkan oleh Perdana Menteri negara. Apa pendapat kita selaku mahasiswa?

Antara hujah-hujah sokongan adalah;

i) Tanah ada value yang tinggi, jadi alang-alang nak bina bangunan, kena bina tinggi

ii) Jana ekonomi negara - tarik pelabur luar

iii) Peluang pekerjaan melalui pengagihan projek-projek

iv) Kita perlukan ikon negara maju

Manakala hujah-hujah balas pula adalah;

i) Subsidi akan dimansuhkan. Rakyat semakin sengkek

ii) Berapa banyak gedung perniagaan di KLCC dimiliki bumiputera dan rakyat Malaysia pada hari ini?

iii) Rakyat memerlukan bonus dalam zaman kesempitan ini

iv) Kos awal RM 5bilion, pasti akan naik punya, macam projek istana negara; atas 'sebab-sebab' tertentu.

Apa juga hujahnya, golongan yang berusia awal 20-an harus sedar, di mana NILAI pandangan anda? Adakan sekadar disimpan rapi di dalam peti, atau terkunci di dalam peti suara? Bahaskan dengan bijaksana. Ingatlah wahai mahasiswa sekalian, pandangan anda bernilai, dan hanya BERNILAI (VALUABLE) apabila anda suarakan.

Dan ingat, menyuarakan padangan tidak semestinya anda menyokong pembangkang!

'Isu Rosmah' Pula Meyusul

Beberapa hari selepas pembentangan bajet negara, seantero negara gempar dengan aksi-aksi 'panas' semasa Islamic (Islamic?) Fashion Festival (IFF).

Pelbagai NGO bangkit membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu. Rupanya ada pakaian yang membuka aurat dan terpampang nama 'Muhammad' secara terbalik di dada si peragawati. Beberapa persoalan di sini;

i) Penggunaan nama 'Muhammad' ini sememangnya satu penghinaan, jika ia benar.

ii) Namun begitu, kalau dilihat dalam konteks yang lebih besar, penganjuran program seumpama ini juga sudah merupakan satu penghinaan besar.

Walaupun namanya fesyen Islam, namun pemakaiannya langsung tidak Islamik! Ibaratnya kalau kita mahu menjual kereta Proton, namun kita iklankan di akhbar yang kita mahu menjual kereta Jaguar. Adakah tindakan kita itu adil?

Dalam hal ini, tanpa mengira siapa sekali pun yang bersalah, mahasiswa wajar mengambil tahu akan apa yang berlaku, dan suarakan teguran anda.

Bagi yang beragama Islam, apabila cara hidup anda dihina, anda wajib bangkit mempertahankan dan menegur kesilapan yang ada. Dan bagi yang bukan Islam, apabila ada agama lain yang dihina, atas semangat 1Malaysia, kita mesti bersama-sama bersatu dalam membetulkan kesilapan yang telah dilakukan, demi kemaslahatan bersama.

Wahai mahasiswa, jangan ragu-ragu menyatakan NILAI pendirian anda.

Zaman sekarang kita ada blog, media alternatif, akhbar tempatan dan medan sosial maya seperti Facebook. Nyatakan pendapat anda dengan penuh hikmah dan beradab dan penuh ikhlas.

Dan menyatakan pendirian anda tidak semestinya anda menyokong pembangkang. Anda sebenarnya menyokong jati diri anda!

sumber : http://www.iluvislam.com/berita/malaysia/1016-menara-100-tingkat-dan-festival-fesyen-islam.html